Dr. Mohd Mazri Yahya.

JOHOR BAHRU – Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya mendakwa cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.

Beliau selari dengan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang tidak bersetuju cuti mingguan di Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Yang Dipertua Pas Kawasan Johor Bahru itu berkata, sekiranya kerajaan negeri sudah nekad untuk menukar cuti mingguan di Johor atas desakan ekonomi, beberapa perkara dicadangkan bagi mengekalkan budaya Johor terus dimartabatkan.

“Pertama mewajibkan semua majikan memastikan pekerjanya diberi ruang untuk mengerjakan solat Jumaat. Tindakan tegas perlu diambil sekiranya mana-mana majikan didapati tidak melakukannya.

“Kedua, bacaan surah Kahfi diteruskan di agensi-agensi milik kerajaan negeri terutamanya 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir surah al Kahfi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan ketiga pula katanya, pemakaian baju Melayu bersamping pelbagai warna untuk pelajar Islam pada setiap Jumaat.

“Ini bagi mengelakkan beban tambahan kepada ibu bapa. Malah mungkin boleh dikembangkan di agensi-agensi milik kerajaan negeri yang difikirkan bersesuaian,” ujarnya.

Yang keempat pula, penyediaan perkhidmatan pengangkutan ke masjid di sekolah-sekolah yang memerlukan.

“Banyak lagi cadangan lain daripada rakyat Johor yang difikirkan bersesuaian dipertimbangkan untuk kebaikan Bangsa Johor,” ujar beliau.

Kelmarin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.

Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Semalam, Hassan menyatakan tidak bersetuju cuti hujung minggu Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad kerana cuti hujung minggu Johor pada Jumaat dan Sabtu mempunyai makna dalam konteks sejarah serta budaya di negeri ini.

Hassan berkata, berdasarkan sejarah negeri selat dan negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum ini telah dipaksa cuti mengikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada Sabtu dan Ahad.

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here