Foto media sosial.

KUALA LUMPUR – Tindakan syarikat rakaman mahu melancarkan single Bertahan Demi Cinta hasil paduan suara, Nur Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin dianggap tidak sensitif serta cuba menangguk di air keruh.

Pengurus Fazura, Iman Tang mendakwa, perkara itu tidak sepatutnya terjadi kerana ia bakal memberi gambaran buruk terhadap Fazura dan Fattah termasuk pihak pengurusan kerana seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kisah perceraian itu.

“Kalau tak silap, lagu duet ini dirakamkan sebelum drama Hero Seorang Cinderella 2 ditayangkan. Saya sangka lagu ini tidak jadi dilancarkan tapi tiba-tiba keluar berita lagu ini akan dikeluarkan.

“Apa yang saya tahu perkara ini mungkin terjadi apabila berita perceraian sudah kecoh. Bagi saya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk lagu dikeluarkan dengan tajuk lagu pula begitu.

“Saya sempat sembang dengan peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan dan dia pun mengatakan tidak sesuai sebab penghujungnya orang akan menganggap ia sekadar gimik.

“Gaduh-gaduh dan menangis, rupa-rupanya mahu jual lagu atau produk,” katanya memetik laporan BH Online selepas sesi latihan Konsert Datuk M N45IR Cipta 2 di sebuah studio di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Iman Tang turut memaklumkan Fazura tidak tahu menahu mengenai cadangan untuk melancarkan single duet itu.

Malah Fazura tidak bersetuju cadangan lagu duet diteruskan berikutan apa yang sedang dilaluinya itu.

“Saya ada bertanyakan perkara ini pada Fazura dan abangnya tapi mereka kata pihak label tidak ada maklumkan akan mengeluarkan single duet itu.

“Dia juga tidak bersetuju kerana lagu sudah lama dirakam. Sudah tentu tiada siapa setuju.

“Saya tidak menguruskan kerjaya muzik Fazura kerana ia kini diambil alih Universal Music Malaysia. Saya tidak tahu apa rancangan mereka.

“Kami tidak meminta, tapi orang Islam, hormatilah jika seseorang sedang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan, gunalah otak,” dakwanya.

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin gagal menahan air mata ketika ditemubual wartawan selepas disahkan bercerai dengan suaminya, Abdul Fattah Mohd Amin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 07 OKTOBER 2024

Sementara itu, demi menjaga reputasi dan tidak mahu dianggap bersekongkol mencipta gimik, Iman Tang tidak akan membenarkan Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin mempromosikan lagu berkenaan.

“Kalau Fazura promosi lagu saya akan marah sebab ia tidak betul. Ini bukan bahan jenaka untuk ambil kesempatan. Saya juga tidak tahu jika ada terikat kontrak.

“Bagi saya, tidak perlu pun, isu yang lebih penting iaitu rumah tangga. Kalau tidak ambil serius, ia akan mengajar generasi lain bahawa isu cerai boleh dibuat main-main.

“Lakukan (cerai) kerana promosi, lepas itu rujuk balik. Apa akan jadi dengan pendidikan agama, hancur,” katanya lagi.

Terdahulu, sebuah syarikat rakaman Indonesia dilapor memuat naik video di Instagram (IG) memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single Bertahan Demi Cinta di semua platform penstriman digital, esok.

Kelmarin, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada pukul 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup sebagai suami kepada Fazura.

Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – MalaysiaGazette