Feri ikonik Pulau Pinang yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan muzium terapung pertama Asia dilaporkan hampir tenggelam hari ini. - Gambar tular

GEORGE TOWN – Feri ikonik yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan muzium feri terapung pertama di Asia dilaporkan berada dalam keadaan hampir tenggelam.

Ia berdasarkan perkongsian orang awam di media sosial hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, syarikat Printhero Merchandise (M) Sdn. Bhd telah membuat pemeriksaan sebelum mendapati air mula memasuki ruang enjin feri tersebut.

“Bagi mengelakkan feri tersebut karam di dermaga, pihak syarikat telah membuat keputusan untuk menunda feri tersebut ke kawasan yang lebih cetek berhampiran kawasan gudang di SPCT.

“Tindakan ini bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat di samping dapat melaksanakan pemeriksaan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihak Printhero dibantu oleh SPPP dan PPSB ketika ini sedang melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta mengenal pasti punca kebocoran berkenaan.

“Tiada tumpahan minyak yang dikesan setakat ini dan pemantauan keadaan feri dibuat sepanjang masa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Feri ikonik P.Pinang ‘dihidupkan’ semula sebagai muzium feri terapung pertama di Asia

Khamis lalu, feri ikonik  yang dihentikan perkhidmatannya sejak Disember 2020 itu ditunda ke Swettenham Pier Cruise Terminal untuk dihidupkan semula dalam bentuk muzium terapung pertama di Asia.

Penang Ferry Museum dalam satu kenyataan  berkata, muzium ini akan ditempatkan di perairan Selat Pulau Pinang, berhampiran Tanjung City Marina di George Town dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

“Feri berwarna kuning tersebut sedang menjalani proses pengubahsuaian, yang kini telah mencapai 70 peratus sebagai usaha untuk mengembalikan kemegahan feri yang pernah menjadi nadi pengangkutan di Pulau Pinang.

“Feri dua tingkat seberat lebih 100 tan ini pernah mengalami kerosakan teruk dan separa tenggelam di Bagan Dalam Slipway, Butterworth pada tahun 2021 sebelum diselamatkan oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast