JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menahan 58 warga asing dalam dua operasi di beberapa premis di sekitar daerah ini dalam serbuan selama dua hari.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan itu melibatkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Johor semalam dan kelmarin.
“Serbuan pertama dilakukan dalam Ops Bersama dijalankan secara bersepadu oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
“Sebanyak enam premis diperiksa melibatkan 56 pemeriksaan terhadap warga asing dan warga tempatan. 40 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, semua warga asing yang ditahan itu melibatkan lapan lelaki dan empat wanita warga Myanmar, 11 lelaki dan tujuh wanita Indonesia dan seorang lelaki Pakistan.
“Ini termasuk dua lelaki Bangladesh, dua lelaki dan dua wanita Thailand, seorang lelaki dan seorang wanita Vietnam serta seorang lelaki India,” katanya.
Beliau memberitahu, umur mereka antara 18 tahun hingga 53 tahun.
Menerusi serbuan kedua katanya, lapan premis dengan jumlah 47 warga asing dan warga tempatan diperiksa dalam operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu.
Menurut beliau, seramai 18 warga asing telah ditahan kerana pelbagai kesalahan melibatkan tiga lelaki dan enam wanita Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh.
Jelasnya, ia termasuk dua lelaki dan seorang wanita Myanmar, dua lelaki Vietnam serta seorang lelaki Thailand masing-masing berumur antara 22 hingga 47 tahun.
“Kesemua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang diendorskan atas pas,” katanya.
Mereka juga disiasat bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
JIM Johor, katanya, akan terus komited membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa di negeri ini.
Ia bagi memastikan isu kebanjiran PATI di Johor dapat ditangani.
Tindakan tegas tanpa kompromi turut dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah, ujarnya.- MalaysiaGazette
















