PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya pemberian subsidi bagi telur ayam bagi gred A, B dan C di kaji semula, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ujar beliau, adalah wajar bagi kerajaan mempertimbangkan supaya subsidi telur itu ditamatkan sekiranya bekalan tersebut telah kembali pulih dan stabil di pasaran.
Jelasnya, penjimatan kira-kira RM100 juta daripada pemberian subdisi telur itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohamad berkata, cadangan penamatan subsidi itu sudah dikemukakan kepada Kabinet bagi penilaian dan pertimbangan khususnya oleh Kementerian Kewangan dan kementerian lain yang berkaitan sebelum diputuskan.
“Sebelum ini bagi subsidi ayam dan telur, kerajaan berbelanja sebanyak kira-kira RM3 bilion (setahun) tetapi pabila kita tamatkan subsidi ayam, kita dapati bekalan dan harga ayam di pasaran menjadi stabil, jadi kita juga berharap perkara sama berlaku apabila subsidi telur ditamatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Mohamad menghadiri majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani di sini hari ini.
Tambah beliau, ketika kerajaan mengambil langkah tidak popular menamatkan subsidi ayam sebelum ini, banyak pihak yang memperlekehkan usaha tersebut, kononnya akan menyebabkan harga ayam melambung.
“(Tetapi) Alhamdulillah, setelah subsidi ditamatkan, harga ayam tidak lagi melambung dan lebih penting lagi, negara mendapat manfaat dengan penjimatan RM100 juta sebulan melalui penamatan subsidi ayam,” katanya. – MalaysiaGazette