Sebastian Avanzini (jersi merah).

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Negeri Sembilan FC, Sebastian Avanzini mengakui teruja apabila dapat kembali mewarnai kancah Liga Malaysia apatah lagi selepas beraksi cemerlang dalam dua perlawanan terdahulu.

Selepas merekodkan dua penampilan bersama Negeri Sembilan FC, dia tidak menunggu lama untuk meraih dua jaringan peribadi ketika menentang Penang FC dan Kelantan Darul Naim FC.

Pemain berusia 29 tahun mengakui tawaran beraksi di Liga Super sememangnya satu peluang yang sentiasa dinantikan.

Memilih untuk bersama Negeri Sembilan FC pada musim ini, impak Avanzini sudah tentu ditagih skuad Hobin Jang Hobin.

“Memang ada dalam perancangan saya untuk meneruskan karier kembali ke Liga Malaysia namun tawaran dari Negeri Sembilan ini hadir pada waktu yang tepat.

“Walaupun sebelum ini saya tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab, namun saya tetap disiplin menjaga kecergasan dan sentiasa mengisi masa lapang dengan bermain bola sepak,” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia di sini.

Ketika ditanya berkenaan cabaran beraksi di Malaysia, pemain asal Itali ini menyatakan bahawa Liga Super kini semakin kompetetif.

Dia juga gembira melihat perkembangan akar umbi yang berlaku di Malaysia.

“Sentiasa ada banyak perkara baik yang boleh diambil daripada liga ini. Secara peribadi, Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki pembangunan bola sepak yang baik dan banyak bakat tempatan yang mampu digilap.

“Saya teruja untuk kembali ke liga yang hebat dan saya akan bersaing sehabis baik di sini,” katanya.

Avanzini tekad untuk membantu Negeri Sembilan FC kembali mendaki carta Liga Super sekaligus menjadi pencabar kepada pasukan-pasukan lain.

“Sasaran kelab dan sasaran saya adalah sama. Itu sebabnya saya menandatangani kontrak di sini. Kami tahu bahawa kami tidak seharusnya berada di kedudukan kedua terakhir dalam liga.

“Saya rasa tiada pasukan yang mahu berada disitu jadi kami akan mencuba sehabis baik untuk membawa Negeri Sembilan kembali berada di landasan yang tepat,” katanya.

Negeri Sembilan kini menghuni tangga ke-13 dalam carta Liga Super selepas beraksi dalam sebelas perlawanan.

Skuad kendalian K Nanthakumar bakal menentang Kuching City FC untuk saingan Liga Super pada 18 Oktober ini di Stadium Negeri, Kuching. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast