Madrafataha Indal Bangsawan, 12 tahun hilang sejak petang 8 Oktober 2024 selepas turun ke kereta ibu untuk mengambil makanan dalam insiden di Bukit Tinggi Klang. Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Polis telah memperhebatkan usaha pencarian seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun yang dikhuatiri hilang di Klang sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada Selasa jam lebih kurang 8.59 malam pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lebih kurang 8.59 malam.

Dalam laporan itu, ibunya mendakwa telah menyuruh anaknya mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah rumah flat di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, kira-kira 2.20 petang.

“Kanak-kanak itu telah turun seorang diri ke bawah tetapi tidak kembali ke rumah selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, ibu kanak-kanak ini turun mencari anaknya di kawasan sekitar parkir kereta pada jam 3 petang tetapi gagal menjuampainya.

“Bertindak atas laporan polis itu, kami membuka kertas enkuiri polis orang hilang untuk siasatan lanjut.

“Kanak-kanak yang hilang itu bernama Madrafataha Indal Bangsawan dan ketika hilang memakai berbaju kemeja T berwarna hijau dan berseluar trek hitam.

“Kanak-kanak itu berbadan kurus, berkulit cerah dan berketinggian 150 sentimeter serta berambut pendek paras bahu.

“Orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat tentang kanak-kanak yang hilang itu diminta segera menyalurkan informasinya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here