Sukie Tay (tengah) bersama-sama pegawai JIM semasa memulangkan semula wang tunai yang ditemui di BSI, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima penghargaan daripada orang awam selepas mengembalikan semula wang tunai yang ditemuinya kepada pemilik wang berkenaan.

Pemilik wang berkenaan, Sukie Tay menerusi Facebook miliknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor yang jujur dan berdedikasi itu.

“Ibu mentua saya kehilangan RM1,500 ketika dalam perjalanannya dan terima kasih kepada integriti dan usaha pegawai itu yang telah mengembalikan wang berkenaan selepas menemuinya.

“Pada masa ini, adalah sangat menggembirakan untuk mengetahui masih ada orang di luar sana yang berusaha keras untuk membantu orang lain.

“Saya amat berterima kasih atas kejujuran dan profesionalisme pegawai ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan JIM Negeri Johor kerana memulihkan kepercayaan saya terhadap kebaikan manusia,” katanya.

Sementara itu, JIM Johor dalam Facebook rasminya turut menyampaikan penghargaan orang awam itu kepada PI Mohamad Farqrulrazi Rahmad yang juga pegawai Imigresen dari Seksyen Media Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Beliau menemui sejumlah wang tunai dalam sampul milik Eng Kuat Li yang berasal dari Johor.

“Wang tunai dalam bentuk mata wang ringgit Malaysia dan dollar Singapura yang berjumlah hampir RM2,000 itu dipercayai tercicir ketika wanita itu berurusan di kaunter pemeriksaan Imigresen Stesen Keretapi JB Sentral di sini pukul 11.30 pagi tadi (semalam).

“Wang tersebut dikatakan adalah pemberian anak wanita itu ketika mula bekerja di Singapura beberapa tahun lalu dan dia menzahirkan rasa lega tak terhingga apabila ia berjaya dijumpai semula,” katanya.

Menurutnya, Kuat Li yang tiba semula di Johor Bahru pada pukul 6 petang semalam diiringi Timbalan Ketua Imigresen (Kawalan), R Vimala ke Pejabat Unit Pemeriksaan Imigresen JB Sentral untuk menerima kembali wang miliknya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here