KUALA LUMPUR Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 23 harta milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di luar negar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, harta-harta itu dikesan di 10 negara dengan nilai keseluruhannya dianggarkan
berjumlah RM52,441,616.
Bagaimanapun, katanya, PDRM masih menunggu pengesahan harta tersebut dari negara yang terlibat bagi tindakan pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613.
“PDRM juga masih meneruskan tindakan untuk menjejaki wang serta mengesan harta perolehan haram lain milik GISBH di dalam dan luar negara dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan agensi-agensi penguat kuasa negara,” katanya lagi.
Mohd Shuhaily berkata, PDRM juga menggunakan Interpol (Kerjasama Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa) dan rakan-rakan pihak keselamatan serantau untuk menjejaki aset-aset dan harta GISBH.
“Kita ada terima maklum balas dari rakan sekerja dari sebuah negara yang mempunyai tiga premis milik GISBH tetapi pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis itu hentikan operasi apabila papan tanda diturunkan dan tingkap ditutup dengan plastik hitam.
“Kita belum ada maklumat berkaitan ahli-ahli mereka dan keberadaan mereka di negara tersebut dan siasatan kami diteruskan.
“PDRM juga masih menunggu respons rakan-rakan serantau dari sembilan negara lagi yang hartanah milik GISBH ditemui antaranya di Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah,” tambahnya. – MalaysiaGazette















