Naib Canselor UMPSA, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kekal universiti teknikal terbaik negara apabila berada pada tangga teratas di kedudukan pertama terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) buat tiga tahun berturut-turut.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan UMPSA sebaris dengan universiti bertaraf dunia serta menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta berimpak peringkat global.

Menurutnya, pengumuman Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 semalam yang menyenaraikan UMPSA di tangga 601-800 terbaik di dunia itu turut menyaksikan UMPSA berada pada kedudukan kelapan terbaik di Malaysia dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.

UMPSA tersenarai pada tangga keenam terbaik universiti awam di Malaysia selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

”UMPSA adalah sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan kerajaan dalam menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.

“Peningkatan UMPSA dalam indikator pengajaran turut mencerminkan kualiti akademik universiti ini diiktiraf peringkat antarabangsa.

”Selain itu, impak penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik terutamanya dalam bidang sains dan teknologi,” katanya hari ini.

Malah. katanya, ia dibuktikan apabila seramai 20 penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2% Scientist bagi kategori Career- Long Achievement dan kategori Single Year Achievement berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini.

Pencapaian tersebut membanggakan warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaian UMPSA .

Pihaknya berharap semua warga UMPSA akan terus komited dan berusaha meningkatkan kedudukan universiti itu pada masa hadapan.

Ujar Yuserrie, UMPSA akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang.

Selain itu, dalam konteks Pelan Strategik UMPSA 2021-2025, pelaksanaan projek kerjasama, menaik taraf kebolehan teknikal dan pembangunan produk yang menggunakan kepakaran teknikal UMPSA dan industri akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan hubungan baik antara UMPSA dan industri.

UMPSA turut memfokuskan terhadap penyelidikan yang berimpak, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini terutamanya dalam bidang peralihan tenaga, kelestarian dan digitalisasi.

Times Higher Education (THE) World University Rankings adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai prestasi Universiti di seluruh dunia merangkumi pengajaran (29.5%), persekitaran penyelidikan, (29%), kualiti penyelidikan (30%), perspektif antarabangsa (7.5%) dan hubungan dengan industri (4%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast