Tertuduh, Al 'Imran Ismail, 29, dan Mohamad Adib Mahmood, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang terhadap seorang wanita, bulan lalu.

MELAKA – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang terhadap seorang wanita pada bulan lalu.

Tertuduh, Al ‘Imran Ismail, 29, dan Mohamad Adib Mahmood, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang dan mengambil sebuah telefon pintar berjenama Iphone milik mangsa, Nur Nabila Mohd Azmi, 19.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Larang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.30 pagi 26 September lalu.

Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius.

Tertuduh, Al ‘Imran yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan menyara ibu bapa yang uzur manakala Mohamad Adib menanggung dua anak masih kecil dan bersekolah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan kedua tertuduh dijamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 5 November ini untuk sebutan semula. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here