Tertuduh, Norazlina Abu Bakar, 39, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM9,000, pada September tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas juruwang sebuah pusat servis kenderaan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM9,000 pada September tahun lalu.

Tertuduh, Norazlina Abu Bakar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua 12 pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai juruwang di Syarikat Tahap Puncak Sdn. Bhd. dan diamanahkan dengan wang hasil perkhidmatan baik pulih dan servis kereta pelanggan milik syarikat berkenaan telah melakukan pecah amanah.

Kesalahan terhadap harta tersebut keseluruhannya melibatkan wang tunai berjumlah RM9,038.40 yang dilakukan di syarikat itu di No.19, Pusat Perniagaan Bukit Katil dalam daerah Melaka tengah bermula 1 hingga 13 September 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun sehingga 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain dan Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan sebanyak RM45,000 bagi kesemua 12 pertuduhan.

Selain itu, pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Suhaimi Zakariya yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah RM10,500 bagi semua 12 pertuduhan dengan alasan tertuduh sudah tidak bekerja dan disara suami yang bekerja sendiri dengan pendapatan RM3,500 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai empat orang anak termasuk bayi berusia empat bulan dan masih menyusu badan anak guamnya itu.

Hujahnya, jaminan yang tinggi juga dikhuatiri akan menafikan hak anak bongsu tertuduh untuk menyusu badan sekiranya penjamin iaitu suami tertuduh tidak mampu menjelaskan jaminan.

Hakim Azaraorni dan Rohatul Akmar kemudian membenarkan jumlah jaminan sebanyak RM14,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebutkan semula 6 November ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here