Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak yang terkurung di dalam rumah mereka disyaki ditinggalkan lama oleh ibunya berjaya diselamatkan oleh polis.

Manakala seorang tukang urut yang disyaki ibu kedua-dua kanak-kanak itu disyaki bertanggungjawab atas perbuatan pengabaian yang berlaku turut ditahan untuk membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku di Taman Kosas di sini pada 7 Oktober lalu.

Sebelum itu, polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang  memaklumkan dua beradik lelaki berusia setahun sebulan bulan dan enam tahun terkurung lama di dalam rumah mereka dan ibunya tiada.

“Bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak terkurung di dalam rumah tersebut.

“Kedua-dua kanak-kanak lelaki yang diselamatkan oleh polis telah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan parut lama dan baru di seluruh badan mereka. Sehingga sekarang masih dirawat di Hospital Ampang,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Bertindak atas maklumat pada 9 Oktober lalu iaitu dua hari selepas kanak-kanak itu diselamatkan, polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas wanita tempatan berumur 41 tahun yang merupakan ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Suspek yang bekerja sebagai tukang urut di Kuala Lumpur telah diberkas di Kawasan Pudu pada Rabu lalu disyaki bertanggungjawab atas perbuatan pengabaian anak-anak terkurung di dalam rumah selama dua hari.

“Semakan lanjut polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau tidak dikehendaki. Wanita itu telah dihadapkan ke mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan polis,” ujarnya.

Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian itu dan kes dikendalikan di bawah Seksyen 31(1)/ 33 Akta Kanak-kanak 2001 merujuk kepada penderaan dan pengabaian kanak-kanak dan boleh dipenjara sampai 20 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here