Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman

KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menerima lima buah bot kajang bernilai kira-kira RM100,000 diubahsuai khusus bagi situasi penyelamatan dan kecederaan ketika banjir.

Menurut Pengarahnya , Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, ia merupakan aset terbaharu diberikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka tidak lama lagi.

“Semua bot itu telah disiapkan dan bersedia untuk diagihkan ke Kampung Kuala Tembeling, Kampung Pagi, Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat dan Kampung Kuala Tahan.

“Bot ini diubahsuai ikut spesifikasi untuk kegunaan di jeram-jeram di daerah terbabit, di mana kita ubah suai sebahagian bot itu supaya bolah dibuka untuk diletakkan stretcher jika terdapat kes kecederaan dan kemalangan dan kecemasan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat APM Pahang, di sini hari ini.

Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan aset APM Pahang di Ibu Pejabat APM Pahang di sini

Beliau berkata, bot terbabit akan dikendali anggota atau sukarela APM daripada masyarakat setempat kerana mereka lebih berpengalaman dari aspek pengendalian bot ketika musim banjir berikutan arus yang lebih deras.

Jelasnya, aset tersebut merupakan tambahan kepada keseluruhan 72 buat aset di air disediakan APM yang meliputi bot fiber, inflatable boat, bot silik dan bot aluminium.

Tahun ini juga katanya, APM Pahang telah bersedia dengan 56 buat kekuatan jentera di darat iaitu 14 buah lori, 17 buah ambulan pacuan empat roda dan 24 buah ambulan biasa.

“Untuk sumber manusia pula, kita menyediakan pegawai dan anggota seramai 660 orang. Tahun lepas, kita tugaskan 580 orang. Tahun ini kita tambah dan termasuk sukarelawan di daerah-daerah,” tambah Che Adam lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat 858 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh daerah juga akan disediakan dan boleh menampung seramai 166,265 individu yang memerlukan.

Beliau berkata, Sekretariat APM Pahang menerusi Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) Pahang juga telah mengenalpasti 763 kawasan hotspot atau berisiko banjir di seluruh negeri Pahang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here