Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka membenarkan permohonan reman terhadap suspek (depan) selama enam hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

MELAKA – Seorang wanita tergamak menipu suami dan anaknya sendiri kononnya dia diculik dan meminta tebusan sebanyak RM70,000 untuk melangsaikan hutang along, semalam.

Tindakannya itu bagaimanapun terbongkar selepas siasatan polis mendapati, ibu kepada tiga anak berusia 55 tahun itu sebenarnya menggunakan telefon bimbitnya sendiri menghantar pesanan kepada anak lelakinya berusia, 22 tahun

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian bermula apabila suspek meminta anaknya itu menunggu di dalam kereta sementara dia membayar bil telefon di sebuah pasar raya di Peringgit kira-kira 11.15 malam.

“Bagaimanapun wanita itu tidak kembali walaupun setelah pengadu iaitu anak lelakinya itu mencari selama satu jam 30 minit di kawasan sekitar.

“Selepas itu, pengadu menerima mesej daripada nombor telefon ibunya memintanya menyediakan RM70,000 sebagai tebusan dan jika diketahui polis, ibunya akan dibunuh,”katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Tambahnya, anak lelakinya itu kemudian segera membuat laporan polis yang disiasat sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian D7 dan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama D9 dan D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Melalui risikan, suspek berjaya ditahan di dalam surau sebuah stesen minyak di Taman Sri Maharani, Muar Johor kira-kira pukul 3.30 pagi tadi sebelum dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat wanita itu mengaku kejadiannya diculik adalah palsu dan tujuannya menghantar mesej berkenaan meminta RM70,000 adalah disebabkan telah didesak menjelaskan hutang berjumlah RM15,000 kepada 10 ceti haram,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut Christopher berkata, suspek juga mengaku menaiki bas ke Muar dari Melaka Sentral namun disebabkan tiada wang terpaksa menjadikan surau di stesen minyak berkenaan sebagai penginapan sementara.

“Mahkamah Majistret Melaka membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama enam hari untuk membantu siasatan
di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,”katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here