Shadan (dua dari kanan) melawat lokasi bangunan runtuh, di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir, malam tadi

MELAKA – Projek pembinaan bangunan tiga tingkat di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir yang runtuh petang semalam disahkan dibina secara haram tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, penemuan itu diperoleh selepas beliau bersama beberapa pegawai dan anggota turun ke lokasi kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Hasil semakan, syarikat swasta milik individu itu didapati tidak membuat apa-apa permohonan pembinaan kepada PBT jadi MBMB telah menyita kawasan itu bagi mengelakkan pembinaan diteruskan.

“Kita juga dalam proses untuk mengenakan kompaun terhadap pemilik bangunan itu maksimum RM50,000 di bawah akta sedia ada,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Kejadian runtuhan lantai tingkat satu bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir, Melaka petang semalam mengorbankan nyawa seorang pekerja manakala dua lagi cedera.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, di bawah Akta Jalan & Perparitan, Seksyen 70 (1) tiada seseorang boleh mendirikan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.

Jelasnya, merujuk kepada merit kesalahan, kompaun sehingga RM50,000 boleh dikenakan kepada mereka yang ingkar.

“Dalam kes ini, tiada papan tanda lesen atau tender diletakkan di tapak binaan dan kita sedang menyiasat apakah jenis bangunan yang cuba dibina dan bilakah projek ini bermula.

“Isnin ini kita akan panggil pemilik bangunan ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya lagi.

Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat itu yang sedang dalam pembinaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa maut dikenali Jidan, 22, yang ditemukan tersepit dengan kecederaan pinggang ke bawah.

Mangsa ditemukan tersepit kira-kira pukul 9.55 malam sebelum pasukan penyelamat berjaya terdiri daripada 81 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan BBP Melaka Tengah berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 12.16 tengah malam.

Sebelum itu, dua warga Pakistan masing-masing berusia 32 dan 49 tahun berjaya dikeluarkan dari celahan runtuhan tingkat satu bangunan itu pada pukul 6.40 petang dan 8.45 malam. – MalaysiaGazette

Pekerja Bangladesh maut, dua warga Pakistan cedera bangunan runtuh

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here