Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR- Enam ahli GISB Holdings (GISBH) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor esok atas pertuduhan melakukan amang seksual dan pemerdagangan orang

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan maklumat itu berkata, pertuduhan berkaitan amang seksual akan dilaksanakan terhadap seorang pekerja resort milik GISBH yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor.

“Suspek yang juga seorang lelaki berusia 20 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan kejadian dilaporkan berlaku pada 1 dan 3 Jun lalu.

“Suspek dijadualkan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada jam 8.30 pagi esok (Ahad),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, lima lagi ahli GISBH termasuk dua yang masih bebas akan didakwa di mahkamah yang sama esok atas kesalahan pemerdagangan orang.

Tambah beliau, tiga suspek termasuk seorang wanita, masing-masing berusia 28, 31 dan 57 tahun akan dituduh bersama dua lagi ahli GISBH yang masih bebas iaitu wanita berusia 60 dan 36 tahun.

“Salah seorang daripadanya merupakan pengurus di resort milik GISBH yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor.

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang akan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Razarudin turut menegaskan bahawa, terdapat empat mangsa dalam kejadian ini terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 30 hingga 57 tahun yang mana mereka menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dengan cara ancaman.

Jelas beliau, kesemua mangsa dalam kejadian terbabit bekerja sebagai pembantu di resort berkenaan.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here