Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) memakai kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) yang bertujuan bagi menambah baik tahap integriti pegawai-pegawai di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan pada Majlis Perasmian BWC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

SEPANG – Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meningkat sebanyak 21.46 peratus atau RM1.12 juta antara Januari hingga September tahun ini selepas penggunaan kamera badan atau body worn camera (BWC) digunakan dalam penugasan harian.

Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, perbandingan kutipan hasil sebelum dan selepas BWC mula digunakan sekitar Oktober tahun lepas bagi cawangan pemeriksaan penumpang (CPP) KLIA bagi Terminal 1 dan Terminal 2.

Kata beliau, antara Januari hingga September tahun 2023, jumlah kutipan hasil ialah sebanyak RM5.22 juta.

Bagaimanapun, tahun ini berjumlah RM6.34 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berucap pada Majlis Perasmian kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

“Secara tidak langsung, penggunaan BWC ini menunjukkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM1.12 juta.

“Sejak penggunaan BWC, statistik aduan yang diterima melibatkan salah laku rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai menurun sebanyak 38.46 peratus atau lima kes,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran BWC JKDM di Bangunan Pentadbiran AMC di sini hari ini.

Tambah beliau, setakat ini, JKDM sudah mengedarkan 60 unit BWC dan semuanya berjalan dengan baik di KLIA dan BSI (Bangunan Sultan Iskandar) di Johor.

“Kita harap dengan pelaksanaan projek rintis BWC ini selama 36 bulan, kita boleh lihat penambahbaikan dari segi tata kelola, tadbir urus dan integriti dalam kalangan pegawai JKDM,” ujarnya.

Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) memakai kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) yang bertujuan bagi menambah baik tahap integriti pegawai-pegawai di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan pada Majlis Perasmian BWC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

JKDM mendapat perolehan BWC sebanyak 60 unit secara sewaan bagi tempoh 36 bulan membabitkan kos perolehan RM1.59 juta.

Anis menambah, setakat ini terdapat lima lokasi dipilih untuk menggunakan BWC iaitu 12 unit di Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, 24 unit di JKDM KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 serta 12 unit masing-masing di JKDM Selangor dan Johor.

Terdahulu ketika berucap, Anis berkata, BWC boleh menjadi ‘fear factor‘ supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku dalam kalangan pegawai yang menggunakannya serta individu berurusan dengan pasukan operasi jabatan.

“Hal ini kerana rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit kelak.

“JKDM sentiasa menyahut seruan kerajaan Malaysia Madani iaitu setiap kementerian dan jabatan harus mempertingkatkan tata kelola melalui penggunaan pendigitalan dan artificial intelligence (AI),” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here