Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Inisiatif projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sebagai keutamaan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid dapat dipertingkatkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, sehingga tahun 2024, sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah diluluskan dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak dan 352 lagi di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

Setakat 11 Oktober 2024, sebanyak 717 projek telah siap sepenuhnya, 183 dalam pembinaan, 176 berada di peringkat prabina dan 15 lagi sedang dinilai semula.

KPM berkata, tempoh pembinaan bagi pelaksanaan projek ini adalah di antara 6 bulan hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak.

Bagi memperkasakan pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaan projek di pelbagai peringkat serta melaporkan status projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here