Rais (kanan) dan R. Saiful Iswandy melakukan tinjauan di tapak runtuhan binaan.

MELAKA – Pihak berkuasa masih mengesan pemilik tanah dan bangunan yang dibina secara haram sebelum runtuh sehingga mengorbankan nyawa seorang pekerjanya selain mencederakan dua lagi di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini petang semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini individu berkenaan belum tampil kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk bertanggungjawab terhadap insiden itu.

“MBMB akan terus mencari pemilik tanah dan bangunan ini supaya kita boleh lakukan tindakan lanjut kerana pembinaan ini dilakukan secara haram tanpa sebarang permohonan.

“Kontraktor mahupun pemilik bangunan sudah melanggar segala prosedur operasi standard (SOP) tanpa mendapat sebarang kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak runtuhan itu di sini hari ini.

Datuk Rais Yasin

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka R. Saiful Iswandy R. Hassan.

Mengulas lanjut, Rais berkata bagi mengelak insiden sama berulang, beliau berharap penduduk setempat juga dapat membantu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa mengenai sebarang projek di kawasan mereka.

“Seperti di sini, selama ini kita tidak menerima sebarang aduan daripada komuniti di kawasan ini yang dikepung dengan zink tinggi seolah-olah dijadikan stor simpanan.

“Hakikatnya, kita pun tak tahu ada projek pembinaan ini yang dulunya merupakan sebuah pasar raya borong sebelum ditutup,” katanya.

Hari ini, MalaysiaGazette melaporkan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman mengesahkan projek pembinaan itu dilakukan secara haram dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000 di bawah Akta Jalan & Perparitan, Seksyen 70 (1).

Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat itu yang sedang dalam pembinaan.

Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa maut dikenali Jidan, 22, yang ditemukan tersepit dengan kecederaan pinggang ke bawah.

Mangsa ditemukan tersepit kira-kira pukul 9.55 malam sebelum pasukan penyelamat berjaya terdiri daripada 81 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan BBP Melaka Tengah berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 12.16 tengah malam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here