Pekerja mencorakkan permukaan air kopi di Ngopdul Coffee, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

Oleh: Dr Anas Hakimee Ahmad Ubaidillah & Dr Sofya Zulkiffli

DALAM memulakan kerja seharian, sesetengah individu perlu mengambil kopi bagi meningkatkan kualiti pekerjaan. Trend meminum kopi di Malaysia meningkat kerana
munculnya banyak kedai kopi persendirian yang baru, mesin pengekstrakan kopi di rumah yang mampu milik dan individu ataupun perusahaan kecil yang berkebolehan memanggang biji kopi mereka sendiri.

Sekumpulan penyelidik dari Eropah telah melihat pengambilan kopi di beberapa bahagian di dunia. Hasil daripada itu, pengambilan kopi di Asia per kapita adalah di antara 1 hingga tiga cawan sehari.

Jumlah ini sebenarnya sedikit jika dibandingkan dengan Eropah dan benua Amerika, yang mana mereka mengambil sebanyak empat hingga lima cawan sehari. Hidangan secawan kopi bukan lagi sebagai hanya satu minuman tetapi sudah menjadi kebiasaan dan rutin harian ramai individu.

Dalam menikmati aroma dan rasa kopi, ia penting untuk mengetahui risiko minuman kopi itu kepada kesihatan pergigian. Bersempena dengan Hari Kopi Sedunia yang disambut setiap 1 Oktober setiap tahun, artikel ini akan membincangkan tentang kaitan antara kopi dan kesannya kepada kesihatan pergigian terutamanya melibatkan estetik ataupun penampilan pergigian individu.

Semua sudah sedia maklum bahawa sebab utama kopi diminum adalah untuk mendapatkan faedah daripada kafein yang terkandung dalam secawan kopi. Antara kesan kafein kepada badan adalah meningkatkan daya tumpuan, merendahkan tahap keletihan dan menghasilkan hormon yang membantu untuk meningkatkan keadaan fizikal badan dan minda.

Individu yang meminati kopi mungkin tidak sedar akan bahan lain yang juga terdapat dalam secawan kopi yang mampu memberi kesan buruk jika diambil terlampau banyak dan kerap. Kopi sendiri mempunyai kandungan semula jadi yang dipanggil “tanin”, yang bertanggungjawab untuk rasa pahit kopi. Malangnya, “tanin” juga menyebabkan kesan perubahan warna pada permukaan gigi. Bahan ini akan memberi reaksi terhadap lapisan luaran gigi yang dipanggil enamel yang menyebabkan kekuningan. Pengambilan kopi berterusan dalam masa yang lama dan jumlah yang banyak akan menyebabkan kesan yang lebih buruk.

Selain daripada itu, kopi juga bersifat asid yang boleh menyebabkan kesan hakisan pada permukaan gigi dan menyebabkan sensitiviti. Trend rakyat Malaysia pada masa kini gemar menambah pelbagai perasa pada kopi seperti gula karamel dan sebagainya. Ini menyebabkan risiko untuk mendapat karies atau lubang pada gigi meningkat.
Peminat tegar kopi boleh mengelakkan kesan buruk pada kesihatan dan estetik gigi dengan mengamalkan beberapa langkah pencegahan. Langkah yang utama adalah dengan
mengurangkan penambahan gula pada kopi, lebih elok jika tidak langsung meletakkan sebarang unsur pemanis.

Kesan kepada langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesihatan pergigian dari segi mengurangkan jumlah karies atau lubang pada gigi, malah ia mampu
membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis. Bagi mengurangkan kesan kekuningan pada permukaan gigi, langkah mudah yang boleh dilakukan adalah dengan
berkumur setelah meminum kopi. Ini dapat menghilangkan pigmen kekuningan pada permukaan gigi yang menyebabkan perubahan warna. Cara mudah yang lain adalah
dengan menggunakan straw. Langkah ini dapat mengelakkan sentuhan langsung cecair kopi pada permukaan gigi.

Peminat tegar kopi yang terkesan akibat kekuningan pada gigi dan memerlukan rawatan untuk memulihkan kembali senyuman yang estetik boleh berjumpa dengan pengamal
pergigian profesional. Rawatan yang dapat dicadangkan adalah seperti pengskaleran gigi dan rawatan pemutihan gigi yang dapat menghilangkan kesan warna kopi. Nasihat profesional dari pengamal pergigian yang bertauliah dapat mencadangkan rawatan pergigian yang sesuai, khas bagi setiap masalah pergigian pada individu. Dalam pasaran sekarang, terdapat banyak produk pergigian untuk pemutihan gigi, yang setiap satunya mempunyai pelbagai fungsi dan keberkesanannya. Setiap pesakit dan individu dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada pengamal pergigian sebelum memulakan sebarang rawatan pemutihan gigi.

Akhirnya, pengambilan kopi dalam jumlah yang sederhana adalah amalan yang baik untuk mengelakkan kesan buruk pada kesihatan dan estetik pergigian. Hasil penyelidikan pada tahun 2023, 5 cawan kopi sehari adalah pengambilan maksimum untuk setiap individu. Langkah pencegahan yang dicadangkan perlu diambil bagi membolehkan peminat kopi tegar masih boleh menikmati secawan kopi yang enak tanpa perlu memikirkan kesan buruk pada kesihatan pergigian.

Penulis merupakan Pakar Pergigian Klinikal Restoratif di Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast