Oleh: Dr Muhamad Yazli Yuhana
Ancaman penyakit berjangkit
Bencana banjir membawa risiko tinggi terhadap penularan beberapa penyakit berjangkit. Penyakit seperti Leptospirosis, Melioidosis, dan Typhoid Fever menjadi ancaman utama.
1. Leptospirosis: Penyakit ini disebabkan oleh bakteria yang terdapat dalam air kencing
tikus. Manusia boleh dijangkiti jika terdedah kepada air yang tercemar.
2. Melioidosis: Penyakit ini disebabkan oleh kuman yang berada dalam tanah yang
terdedah akibat banjir. Kuman ini boleh masuk ke dalam tubuh melalui luka atau dengan
meminum air yang tercemar.
3. Typhoid Fever (Demam Kepialu): Penyakit ini berpunca daripada pembuangan najis
yang tidak terurus, dan ia boleh merebak melalui air yang tercemar.
Gejala dan tanda-tanda
Gejala awal yang mungkin dialami oleh individu yang terdedah kepada kuman-kuman ini termasuk:
• Demam yang berpanjangan selama dua hingga tiga hari.
• Cirit-birit, yang mungkin disebabkan oleh jangkitan demam kepialu.
• Gejala seperti menggigil dan kesukaran bernafas, terutamanya bagi mereka yang
terdedah kepada Leptospirosis atau Melioidosis.
• Sakit perut dan muntah juga boleh menjadi tanda jangkitan.
Langkah-langkah pencegahan
Dalam menghadapi risiko ini, beberapa langkah pencegahan yang perlu diambil:
• Elakkan pendedahan: Jika kawasan anda berisiko banjir, lakukan persediaan awal
dan elakkan pendedahan kepada air banjir.
• Kebersihan Diri: Bersihkan diri dengan teliti selepas terdedah kepada air banjir. Ini termasuk mencuci tangan dan menjaga kebersihan tubuh.
• Penjagaan Luka: Jika anda mempunyai luka yang terdedah, pastikan ia ditutup
dengan baik sebelum bersentuhan dengan air banjir.
• Kebersihan Persekitaran: Sebelum berlaku banjir, pastikan persekitaran rumah
dalam keadaan bersih untuk mengurangkan risiko penyakit.
Kesedaran untuk kanak-Kanak
Pentingnya melindungi anak-anak dari bermain di kawasan air banjir. Kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan, dan langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan keselamatan mereka.
Kesimpulan
Penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksanakan
pencegahan yang berkesan selepas banjir. Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, kita dapat mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan air dan melindungi kesihatan
masyarakat.
Penulis adalah Pakar Penyakit Berjangkit KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital