Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR – Kes terbaharu yang tular melibatkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong, Shah Alam kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual amat dikesali.

Jika benar berlaku, ia suatu yang sangat memalukan, melampau dan tidak bertamadun.

Lebih teruk, ia terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau yang juga Pendaftar Sekolah Islam Selangor menegaskan, JAIS sekali lagi mengingatkan kepada jemaah pengurusan, pentadbir dan para guru sekolah agama swasta yang pihaknya tidak akan teragak-agak menamatkan pendaftaran mana-mana sekolah agama swasta di negeri Selangor mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001) jika didapati sekolah terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.

“JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama,” katanya.

Ibu bapa dan penjaga juga diingatkan supaya sentiasa memerhati perkembangan anak- anak dari semasa ke semasa agar kelainan sikap dan tingkah laku anak- anak yang dikesan di peringkat awal dapat dihadapi dengan langkah-langkah yang sesuai dan tepat seterusnya dapat mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan para pelajar.

Mengikut Seksyen 8 enakmen, katanya, pihak sekolah swasta adalah tertakluk untuk didakwa dan mendakwa.

Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here