Siti Rohani dalam Majlis Penyampaian Geran Bantuan Sesi Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan bomba diperlukan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, Iskandar Puteri apabila dilancar hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir yakin pihaknya sedia melihat dan mengkaji keperluan tersebut.

Ujar beliau, perkara itu masih belum diputuskan ketika ini dan JBPM tidak sewenang-wenangnya menambah anggota di negeri ini kerana perlu melihat keanggotaan termasuk struktur jabatan.

Katanya, langkah penempatan bomba itu adalah sejajar apabila berlaku pembangunan, keperluan permohonan perakuan pelan bangunan dan pelan mekanikal dan elektrikal akan bertambah.

“Bila berlaku pembangunan, pegawai bagi mengurus kelulusan pelan akan bertambah dan kita lihat daripada segi keanggotaan, memang perlu ada penambahan (di Johor).

“Buat masa ini bilangan keseluruhannya anggota bomba Johor adalah seramai 1,462,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Sesi Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini hari ini.

Terdahulu, Rohani juga menyampaikan geran bantuan libat urus kepada 59 pertubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan nilai keseluruhan RM90,000.

SFZ di Forest City dilancarkan pada 20 September lalu manakala JS-SEZ antara Malaysia dengan Singapura akan dimeterai pada 8 Disember ini.

Siti Rohani berkata, bomba Johor menerusi kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjadi perintis bagi menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pemprosesan kelulusan pelan bangunan.

Beliau memberitahu, pembangunan sistem baharu berkenaan akan melancarkan proses yang kebiasaannya mengambil masa dua minggu kepada sehari.

“Sekiranya sistem ini siap, kita perlu dedahkan kepada anggota termasuk berkaitan perundangan dan piawaian,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here