KUALA LUMPUR- Seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak berpakaian ditemukan dalam semak oleh seorang pemandu lori berhampiran Patai Petak, Paka, Terengganu, kira-kira 2 petang tadi.

Pemandu berkenaan, Mohd Zoo Abd Rahman, 44, berkata, kejadian berlaku ketika dia berhenti rehat di pantai tersebut selepas selesai mengambil kayu palet di sebuah kilang.

Katanya, ketika ditemui, bayi yang sudah dipotong tali pusat itu berada dalam kesejukan dan hanya dialas dengan sehelai kain lusuh di dalam sebuah beg.

“Pada awalnya saya melihat dua ekor anak anjing sedang berkeliaran, namun tiba-tiba saya terdengar bunyi tangisan bayi sebelum ternampak sebuah beg berhampiran anjing tersebut.

“Bayi itu hanya menangis sekejap sahaja namun tangisannya agak jelas lalu saya bergegas memanggil beberapa orang pengunjung di pantai itu untuk memeriksa beg tersebut sebelum melihat bayi itu sedang meringkuk kesejukan,” katanya.

Mohd Zoo kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa sebelum pasukan polis dan kesihatan tiba di lokasi kejadian untuk menyelamatkan bayi terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan mengenai penemuan bayi tersebut.

Katanya, bayi malang itu teah dibawa ke Klinik Kesihatan Paka sebelum dihantar ke wad kanak – kanak Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Usaha mengesan ibu kepada bayi tersebut kini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here