Dr Anuar Ahmad.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 bagi sektor pendidikan perlu dipastikan dapat membantu sistem pendidikan negara untuk pulih sepenuhnya daripada pasca pandemik Covid-19.

Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, pasca pandemik itu menyaksikam sektor pendidikan negara berdepan pelbagai cabaran seperti keciciran, jurang pendidikan antara wilayah, kedaifan kemudahan sekolah dan kekurangan guru yang membawa kepada pencapaian kualiti pendidikan yang tidak mengembirakan.

Sehubungan itu, Anuar yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan beberapa inisiatif yang wajar diberi tumpuan oleh kerajaan bagi memperkasakan semula sektor pendidikan menerusi Belanjawan 2025.

Antaranya, ujar beliau, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan prasekolah, tadika dan tabika di seluruh negara bagi meningkatan akses pendidikan awal kepada semua anak-anak yang mencapai umur enam tahun.

Selain itu, ujarnya, kerajaan juga dicadangkan menyediakan bantuan dalam bentuk subsidi untuk yuran prasekolah swasta di kawasan yang tidak mempunyai prasekolah yang diuruskan oleh kerajaan khusus untuk kumpulan isi rumah miskin dan B40.

“Penyediaan lebih banyak prasekolah kerajaan dan subsidi yuran prasekolah swasta kepada golongan miskin itu akan meningkatkan kadar literasi dan numerasi murid di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Anuar turut mencadangkan kerajaan melakukan penstrukturan semula Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi memastikan bantuan itu benar-benar memberikan manafaat terbesar kepada murid.

Jelas beliau, mengambil kira kemampuan peruntukan kerajaan yang terhad, pemberian BAP secara sama rata tidak lagi begitu sesuai untuk diamalkan.

“Terdapat murid yang lebih memerlukan BAP bagi tujuan persekolahan berbanding murid lain yang lebih kaya dan mampu.

“Sehubungan itu, BAP seharusnya disusun semula dengan perkadaran BAP yang lebih munasabah, misalnya bagi golongan T20 sebanyak RM100; M40 sebanyak RM150 dan B40 sebanyak RM200,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 mewartakan asrama harian sebagai institusi bantuan pendidikan hanya untuk murid miskin, mnakala sekolah asrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk murid miskin yang berprestasi paling cemerlang.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan juga dicadangkan membina lebih banyak sekolah rendah dan menengah baharu di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan isu kesesakan murid.

“Selain itu, kerajaan juga disaran menyediakan  peruntukan pendidikan digital untuk semua sekolah dan boleh memulakan program ‘sekolah angkat digital’ dengan kerjasama dengan pihak industri,” katanya.

Bagi tumpuan kepada sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula, Anuar menambah, kerajaan wajar menambah bilangan institusi yang menawarkan latihan itu selain menyediakan kerangka dasar untuk memulakan aliran TVET di tingkatan satu sekolah menengah.

Dari aspek pemerkasaan guru pula, tambah beliau, kerajaan turut dicadangkan menaikkan elaun guru Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, begitu juga elaun guru dari kedua-dua negeri itu yang bertugas di Semenanjung.

“Sistem pendidikan negara sedang melalui krisis pendidikan yang memerlukan pemulihan segera secara besar-besaran dan menyeluruh, justeru Belanjawan 2025 diharapkan dapat memulihkan semula pencapaian dan kualiti sistem pendidikan negara,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here