Tangkap layar video memaparkan sebuah lori hilang kawalan sebelum melanggar enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sri Medan, Batu Pahat, semalam

BATU PAHAT – Brek tidak berfungsi dipercayai menjadi punca sebuah lori hilang kawalan sebelum melanggar enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sri Medan di sini semalam.

Kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 3.47 petang semasa semua kenderaan sedang berhenti.

“Kejadian berlaku apabila sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Parit Sulong ke Johor Bahru.

“Sampai di lokasi kejadian, lori itu yang mengalami masalah brek telah melanggar empat buah kereta dan dua buah motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video berkenaan kejadian tersebut yang berdurasi 35 saat tular dalam media sosial sejak semalam.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lori mendapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Menurutnya, lori tersebut sudah ditahan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini bagi pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here