MELAKA – Kaedah perubatan Adam Isa atau dikenali Tabib Adam diputuskan sebagai sesat dan mempunyai unsur khurafat kerana menggunakan perantara mahkhluk mengubati pesakitnya.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, Jawatankuasa Fatwa Melaka juga telah mengeluarkan fatwa kaedah perubatan itu sebagi sesat pada 12 September lalu.
“Berdasarkan temubual dengan mereka dan aduan yang kita terima, elemen perubatan Tabib Adam adalah bercanggah dengan hukum syarak dan akidah khususnya.
“Ada amalan wiridnya yang kadang-kadang tak masuk akal termasuk bacaan-bacaannya kita khuatir ada elemen-elemen mistik seperti menyeru makhluk-makhluk dalam perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Halim menggesa umat IslamĀ supaya berhati-hati dan berhenti daripada mendapatkan khidmat bomoh berkenaan.
“Kalau nak sihat sekali pun, pastikan kaedah perubatan itu lari daripada perkara-perkara khurafat, yang tersasar dan carilah juga rawatan menggunakan doktor pakar di hospital.
“Kadang kala penyakitnya lain tetapi mereka tidak percaya dan pergi kepada bomoh dan guna kaedah perubatan yang meragukan,” katanya.
Tahun lalu, Tabib Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengaitkan JAIM dengan Dajal.
Tertuduh didakwa secara sedar telah menggunakan akaun YouTube miliknya, Tabib Adam M. Isa membuat hantaran yang bersifat jelik dengan menggunakan perkataan Dajal. – MalaysiaGazette