KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berharap kerajaan dapat mengelak memperkenalkan cukai-cukai baharu dan yambahan yang boleh mengurangkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara,
Presidennya, Datuk William Ng berkata, sebaliknya tumpuan harus diberikan untuk membantu PMKS menambah baik operasi, mengurus kos mereka, dan memanfaatkan pelbagai peluang daripada peralihan tenaga, perubahan iklim, populasi yang menua, kecerdasan buatan dan perubahan susunan ekonomi global.
Menurutnya, walaupun ekonomi negara nampaknya semakin kukuh, namun kebanyakan PMKS terus menghadapi pemampatan margin keuntungan disebabkan oleh peralihan digital, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos pematuhan.
Perkara ini diperoleh daripada pelbagai tinjauan dan libat urus PMKS sejak awal tahun ini.
“Kami bimbang kerajaan mungkin beranggapan PMKS semestinya menunjukan prestasi yang baik ikutan kenaikan KDNK negara dan pengukuhan mata wang ringgit.
“Hakikatnya, banyak PMKS terkesan teruk oleh peningkatan kos perniagaan, menyebabkan pemampatan margin keuntungan dan keberuntungan yang rendah,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, cabaran ini diburukkan lagi dengan peningkatan kos pematuhan yang disebabkan antaranya oleh mandat e-invois yang akan datang dan pematuhan dan pelaporan piawaian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menaikkan cukai taksiran dan caj perkhidmatan kepada perniagaan antara 15 hingga 250 peratus.
Akibatnya, banyak PMKS semakin terdesak, tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan, tambahnya yang melahirkan kekecewaan selepas permohonan penyertaan Samenta dalam libat urus langsung dengan Perdana Menteri bersama industri pada bulan Julai ditolak oleh Kementerian Kewangan sebaliknya diminta untuk memuatnaik sebarang cadangan’ ke laman sesawang Kementerian Kewangan.
Sedangkan, katanya, cadangan Samenta sebagai persatuan tertua dan terbesar untuk PMKS, dipertimbangkan atau diterima oleh pelbagai kementerian lain sebagai persediaan untuk proses Belanjawan 2025.
William berkata, libat urus tersebut penting sebagai forum untuk memberi maklum balas di peringkat akar umbi secara langsung kepada Perdana Menteri untuk memastikan penambahbaikan ekonomi baru-baru ini dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan perniagaan PMKS. – MalaysiaGazette