KUALA LUMPUR – Keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh mempersoalkan mengapa sehingga kini Peguam Negara (AG) tidak bertindak dalam afidavit yang difailkan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.
Azilah merupakan salah seorang yang disabitkan dengan tuduhan membunuh wanita itu dan afidavit difailkan oleh bekas anggota polis itu berkaitan permohonannya untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.
Hari ini, peguam mewakili keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo berkata, sebenarnya amat penting apabila afidavit tambahan difailkan oleh Azilah itu tidak disangkal oleh pihak pendakwaan.
“Afidavit itu termasuklah dakwaan Azilah bertindak atas arahan, fakta tersebut tidak dicabar oleh pendakwa raya. Jadi timbul persoalan serius mengenai tindakan oleh AG.
“Keluarga Altantuya mahu tahu adakah dakwaan ini telah disiasat atau sebaliknya. Jika belum siasat, mereka hendak tahu mengapa ia masih belum ditangani,” katanya dalam kenyataan.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan semakan hukuman yang difailkan oleh Azilah dengan menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun berkuatkuasa dari tarikh tangkapan selain 12 kali sebatan.
Mahkamah yang bersidang bersama oleh tiga panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim, Tun Maimun Tuan Mat sebulat suara menerima semakan itu kerana dua sebab iaitu afidavit tidak disangkal pendakwaan selain surat bapa model itu, Dr Shariibuu Setev yang memaafkan pemohon.
Kata Sangeet lagi, saman sivil itu juga telah menemukan lialibiti serius berkaitan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.
Prosiding itu juga masih dalam peringkat rayuan dan belum selesai didengari.
“AG mempunyai tanggungjawab dalam menjaga kedaulatan undang-undang, wajib siasat setiap petunjuk secara saksama bagi memastikan semua individu bertanggungjawab tanpa mengira pengaruh.
“Pertuduhan perlu dikenakan kepada semua yang terlibat. Sebarang penggunaan undang-undang terpilih akan menjejaskan kepercayaan umum terhadap pejabat AG,” ujarnya.
Altantuya ketika berusia 28 tahun telah dibunuh di kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor pada Oktober 2006 sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Mahkamah sebelum ini mendapati Azilah dan bekas komando polis, Sirul Azhar Umar bersalah atas pembunuhan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati pada April 2009.
Azilah kini berada di penjara menunggu hukuman mati di Malaysia manakala Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan sabitan serta hukuman mati mereka pada 2015.
Disebabkan melebihi tempoh visa pelancong, Sirul ditahan oleh pihak berkuasa Australia yang mempunyai dasar tidak menghantar pulang sesiapa yang menghadapi hukuman mati di negara asal.
Ketika ini anggota itu sudah dibebaskan dan terus menetap di Australia. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: