Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan mangsa banjir - Foto ihsan APM.

JASIN – Lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Jasin apabila 77 buah rumah dinaiki air dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, berkata setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 275 mangsa sudah dipindahkan.

Lima PPS dibuka adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kob, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong dan SK Merlimau.

Mangsa tertinggi adalah di SMK Dang Anum melibatkan 216 mangsa dari 55 buah keluarga, SK Serkam Darat seramai 30 mangsa daripada 10 keluarga dan SK Tedong melibatkan 29 mangsa daripada 12 keluarga.

“Mangsa di SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob serta SK Merlimau pula sedang dikemas kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, antara kawasan yang teruk terjejas adalah di Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dan Merlimau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here