Pengarah salah sebuah anak syarikat GISBH, Khaulah Asaari bercakap pada sidang media bersama wakil-wakil GISBH ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Hotel Mardyiyah, Shah Alam, Selangor. Foto AIZATZAINAL, 14 OKTOBER 2024.

SHAH ALAM – Pengarah salah sebuah anak syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Khaulah Asaari menegaskan pengikut kumpulan tersebut tidak mengikuti amalan Al-Arqam yang diisytihar sesat sebelum ini.

Wanita berusia 38 tahun yang juga merupakan salah seorang anak perempuan pengasas Al-Arqam itu turut mengesahkan ahli-ahli dalam kumpulan itu tidak mengikuti Aurad Muhammadiyah.

“Berkait amalan yang dikatakan, memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat atau salah mungkin ada juga tahu kita (GISBH) mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama dan kita mengikuti proses istitabah (bertaubat) yang dikendalikan di Jabatan Mufti Selangor.

“Kita juga berkomitmen tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini zaman Al-Arqam,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut,  Khaulah berkata, silibus pelajaran di sekolah agama seliaan GISBH berpandukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Dalam pengetahuan saya, sekolah saya ada lesen ikut silibus JAIS dan kami dipantau apa silibusnya,” katanya lagi.

Malah jkumpulan berkenaan sentiasa dipantau oleh jabatan agama selepas mengikuti kursus selama 500 jam.

Malah menurutnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali sentiasa mengingatkan semua ahli untuk fokus kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

“Kami sentiasa dipantau jabatan agama untuk dipastikan tidak ada pengulangan amalan begitu (Al-Arqam),” tegasnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, video menunjukkan ahli GISBH mengagungkan abuya (Asyaari) sebenarnya video lama yang ditularkan semula di media sosial.

“Itu sudah lama sekitar 2011, jadi itu sudah berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khaulah enggan memberi ulasan dakwaan berlaku pengeksploitasian kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan.

Menurut beliau, ini kerana kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya tidak boleh komen banyak, ini masih dalam proses siasatan, kita beri kerjasama baik kepada pihak berkuasa pihak polis berikan satu kerjasama

“Baik tidak ada masalah daripada awal isu ini Nasiruddin sebut kita sedia bekerjasama untuk disiasat ditanya dan sebagainya,” katanya lagi,

Wanita tersebut juga tidak mahu mengulas lanjut dakwaan kanak-kanak di bawah pusat jagaan GISBH dipertontonkan video militan.

Semalam dilaporkan, fahaman jihad militan dipercayai antara yang diserapkan pada diri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, fahaman itu didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast