KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB Dana Bestari untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2024.
Pemegang unit telah menerima agihan pendapatan sebanyak 2.93 sen seunit, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2,877,748.55.
Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM0.5479, manakala selepas agihan ia diselaraskan menjadi RM0.5186.
Pengagihan ini telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 30 September 2024, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan
pada 1 Oktober 2024.
Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 5.99% berdasarkan purata NAB setiap unit sepanjang tahun kewangan, dengan pulangan keseluruhan sebanyak 12% untuk tempoh yang sama.
Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, sejak pelancarannya pada tahun 2002, PMB Dana Bestari telah berjaya memberikan pulangan yang stabil dan pertumbuhan modal melalui pelaburan dalam ekuiti patuh Syariah dan sekuriti pendapatan
tetap.
Dana ini biasanya memperuntukkan 70% hingga 99.5% daripada NAB kepada ekuiti patuh Shariah, manakala selebihnya dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit, dan sukuk.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Operasi PMB Investment, Izwan Azzeri Kamal berkata, pengagihan pendapatan ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan pulangan yang kukuh kepada para pemegang unit. – MalaysiaGazette