Mohamad.

SEBERANG JAYA – Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang akan bersidang mulai esok bagi menentukan sama ada ajaran yang dibawa oleh GISB Holdings (GISBH) mengandungi unsur sesat atau sebaliknya.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan muktamad mengenai fatwa itu dijangka diumumkan Rabu ini selepas persidangan berlangsung selama dua hari sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, pihak berkuasa agama negeri telah menyediakan langkah-langkah untuk pemulihan akidah bagi mereka yang terlibat dengan ajaran tersebut.

“Kami telah bersiap sedia untuk membantu ahli GISBH dalam proses pemulihan akidah mereka sementara menunggu keputusan rasmi dari Jawatankuasa Fatwa.

“Program pemulihan akidah akan diadakan di sebuah kompleks di Tasek Gelugor, dekat sini. dan kita menyediakan guru-guru takmir untuk membantu golongan terbabit.

“Usaha ini termasuk pendidikan agama yang akan diberikan kepada ahli GISBH termasuk anak-anak mereka bagi memastikan mereka kembali kepada landasan ajaran Islam yang sebenar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan fatwa GISBH di Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Setakat ini, empat negeri Perlis , Selangor, Pahang dan Melaka telah mengisytiharkan GISBH sebagai sesat kerana mempunyai unsur ajaran sesat khususnya batiniah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here