Gambar hiasan

JOHOR BAHRU -Orang Islam yang sengaja tidak solat Jumaat selepas penetapan semula hari Jumaat sebagai hari bekerja di Johor mulai tahun depan akan dikenakan tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penguatkuasaan akan dilaksana Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor(JAINJ).

Tegas beliau, tiada alasan untuk meninggalkan kewajipan solat Jumaat.

“Bahagian Penguatkuasa JAIJ akan meneruskan penguatkuasaan kepada mana-mana orang Islam yang sengaja meninggalkan kewajipan solat Jumaat seperti yang termaktub dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penetapan semula hari Jumaat sebagai hari bekerja di Johor mulai tahun depan tidak akan mengganggu pelaksanaan solat Jumaat bagi kakitangan awam, pekerja muslim dan pelajar.

“Pelepasan bagi umat Islam menunaikan solat Jumaat adalah diwajibkan sama ada kepada sektor awam atau swasta,” ujar beliau.

Jelasnya, ia seperti yang terdapat dalam Garis Panduan Menunaikan Solat oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia yang terpakai dan berkuat kuasa.

Menurutnya, jadual waktu persekolahan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah agama kerajaan Johor (SAKJ) juga akan diteliti serta disusun.

Jelasnya, ia dapat memberi ruang masa yang mencukupi bagi ibu bapa menguruskan waktu persekolahan anak-anak mereka.

Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan berkata, baginda sudah menitahkan perkara terbabit kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

Baginda juga menitahkan agar Onn Hafiz mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.

Baginda berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here