KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah baharu dengan menubuhkan Pusat Dagangan (Trading Centre) hasil kerjasama dgn CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd iaitu UMT-CGS East Coast Trading Centre yang pertama seumpamanya di Pantai Timur dalam memperkukuhkan pendidikan berkaitan kewangan, pelaburan dan perbankan.
Pusat ini juga menyediakan pelajar dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri selaras dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0).
Melalui Pusat Dagangan itu, pelajar akan dilatih menggunakan teknologi terkini yang digunakan dalam pasaran kewangan global bagi membolehkan mereka menguasai urus niaga pasaran modal, pengurusan risiko dan analisis pelaburan secara langsung.
Selain itu, kemudahan itu turut menyediakan simulasi perdagangan yang memberi pengalaman dalam menghadapi situasi sebenar pasaran modal, memberikan pelajar pengalaman praktikal yang bernilai dalam suasana yang hampir dengan dunia kerja sebenar.
Penubuhan pusat ini juga menyokong usaha UMT dalam mempersiapkan graduan lebih kompeten dan berdaya saing, terutamanya dalam bidang kewangan dan pelaburan.
Dengan adanya Pusat Dagangan ini, UMT dapat memperkasakan lagi kerjasama dengan industri kewangan serta membuka ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman langsung di sektor yang dinamik dan pesat berkembang ini.
Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Pusat Dagangan itu bakal memberi manfaat kepada 3,076 pelajar di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial khususnya bagi program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Sarjana Muda
Perakaunan, Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran dan Sarjana Muda Kewangan.
“Trading Centre ini bukan sahaja menyediakan ruang untuk pelajar mengasah kemahiran pelaburan dan analisis pasaran, tetapi juga membuka laluan untuk kerjasama dengan pihak industry.
“Oleh itu, besar harapan saya agar penubuhan Trading Centre melalui kerjasama antara UMT, CGS International Securities serta penglibatan Malaysian Association of Technical Analysts (MATA) ini akan meningkatkan minat dan kecenderungan pelajar untuk mendalami ilmu pelaburan serta meluaskan pengetahuan mereka tentang potensi, risiko dan keuntungan pelaburan saham,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU dan Perasmian UMT-CGS East Coast Trading Centre di UMT, baru-baru ini.
Kerjasama strategik itu akan memberi akses kepada pelajar untuk berinteraksi dengan para profesional kewangan, firma pelaburan serta pakar-pakar industri, yang dapat memberikan panduan dan pengalaman berharga dalam memahami trend serta dinamika pasaran modal global.
Dr. Zamri berkata, Pusat Dagangan itu juga terbuka kepada orang awam khususnya komuniti Pantai Timur, sekali gus memberi peluang yang besar terutamanya kepada mereka yang berminat dalam bidang kewangan dan pelaburan tetapi tidak mempunyai akses kepada platform atau bimbingan yang tepat,
Tambahnya, inisiatif itu diharapkan lebih ramai individu dari latar belakang yang berbeza dapat mendapat manfaat dan memahami cara untuk melibatkan diri dalam pasaran kewangan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat. – MalaysiaGazette