Kok Wah menunjukkan surat permohonan kewarganegaraan buat anak tunggalnya yang ditolak JPN tanpa mengemukakan alasan.

GEORGE TOWN – Seorang tukang cat runsing memikirkan masa depan anak tunggalnya yang tiada kewarganegaraan atas alasan pasangan itu lambat daftar perkahwinan mereka.

Menurut Sim Kok Wah, 50, anaknya, Sim Kheng Chye, 12, hanya diberi sijil kelahiran berstatus bukan warganegara oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kini menetap dalam negara menggunakan visa pelajar.

Jelasnya, situasi itu berlaku kerana dia hanya berjaya mendaftarkan perkahwinan dengan isterinya yang merupakan warga Thailand pada 2013 iaitu setahun selepas kelahiran anak tunggalnya itu.

“Kami gagal mendaftarkan perkahwinan disebabkan isteri saya tidak boleh pulang ke negara asal ketika itu kerana diisytiharkan bankrap kerana menjadi penjamin dalam pembelian kereta kepada bekas suaminya yang merupakan warga tempatan.

“Selepas membuat rayuan kepada Jabatan Insolvensi baru kami dapat kebenaran untuk isteri saya pulang ke negara asal dapatkan dokumen bagi membolehkan perkahwinan kami didaftarkan di Putrajaya namun status identiti anak masih kekal tanpa warga negara.

“Saya menanti keputusan untuk mendapatkan status warga negara anak saya itu sehingga dia berusia sembilan tahun namun Jabatan Pendidikan Negeri mendakwa persekolahan anak saya tidak dapat diteruskan sekiranya kami gagal mengemukakan pasportnya.

Kok Wah (kiri) bersama Andrew Ooi pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

“Bimbang dia (anak) tidak dapat meneruskan persekolahan membuatkan saya dan isteri terpaksa mendapatkan pasport warga Thailand kepada anak, sekali gus membolehkan dia memasuki negara ini menggunakan visa pelajar,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini.

Tambah Kok Wah, meskipun mempunyai pasport antarabangsa sebagai identiti pengenalan diri namun masa depan anaknya masih samar susulan dia berdepan situasi perlu pulang ke negara asal selepas tamat pengajian sekolah menengah kerana tiada lagi lanjutan visa selepas itu.

“Kalau balik negara asal anak saya nak tinggal dengan siapa? Sedangkan saya dan ibunya di sini. Lebih mengecewakan permohonan untuk mendapatkan taraf kerakyatan anak saya ditolak tanpa mengemukakan sebab.

“Sehubungan itu, saya mohon pertimbangan pihak berkaitan dalam membantu anak saya dapatkan kerakyatan namun jika ia sukar sekurang-kurangnya berilah status penduduk tetap (PR) agar anak tunggal saya dapat tinggal bersama kami sekali gus menjamin masa depan dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Gerakan negeri, Andrew Ooi berkata, tidak wajar alasan bapa lambat mendaftarkan perkahwinan dijadikan asas menolak permohonan kewarganegaraan kepada anak tersebut.

“Kita harap isu ini mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri kerana ini membabitkan masa depan seorang kanak-kanak dan kita juga gesa JPN menyatakan sebab permohonan yang ditolak dalam semua urusan membabitkan permohonan kewarganegaraan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here