Tai Siew Wong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan memukul dan melakukan ugut bunuh terhadap ibu kandungnya bulan lalu.

MELAKA – Seorang penghantar barang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memukul dan melakukan ugut bunuh terhadap ibu kandungnya bulan lalu.

Tertuduh, Tai Siew Wong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistet Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Bong Ngik Lan, 75, dengan cara memukul belakang kepalanya sebanyak dua kali menggunakan tangan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda boleh sampai RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengeluarkan ugutan ‘satu hari mesti saya bunuh u mati’.

Kesalahan di bawah Seksyen 506 KK itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Rumah Awam Bertam Ulu, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4.30 petang 26 September 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Nigel Tai bagaimanapun dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan jaminan rendah kerana hanya bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM1,800 dan perlu menanggung ibunya yang sakit tua.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali.

Kes akan disebut semula 28 November ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here