Md Iqbal Ali Kassim Ali mengadakan di Akademi Kriket Johor Dato Dr Harjit Singh sidang akhbar di di Akademi Kriket Johor Dato Dr Harjit Singh, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Pasukan remaja kebangsaan akan bersaing dengan nama-nama besar dalam kejohanan Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 tahun yang diadakan pada Januari 2025.

Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Md Iqbal Ali Kassim Ali berkata, ini kerana mereka diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama pasukan juara bertahan, India serta nama besar lain dalam dunia kriket, West Indies dan Sri Lanka.

Menurut Md Iqbal, ini merupakan peluang terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pasukan yang pertama kali menyertai kejohanan bawah 19 tahun itu.

“Pasukan ini telah membuat persiapan secara berfasa sejak awal tahun lagi bagi menghadapi kejohanan terbesar tersebut termasuk mengadakan perlawanan di Thailand sebelum ini.

“Kita diundi dalam kumpulan bersama-sama tiga pasukan yang berada dalam kelompok enam terbaik dunia, kesemua ini pernah bergelar juara dunia di peringkat senior.

“Bagaimanapun mungkin ceritanya berbeza kerana ini melibatkan pasukan bawah 19 tahun. Pasukan kita tak kurang hebatnya dan mereka juga masih muda, ada yang berusia 16 dan 17 tahun.

“Pendedahan berdepan pasukan hebat ini akan menjadi batu loncatan buat pasukan menjadi lebih kuat pada tahun yang akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kriket Wanita Bawah 19 Tahun selama 15 hari dari 18 Januari hingga 2 Februari tahun depan.

Sebanyak 41 perlawanan melibatkan 16 pasukan akan diadakan di empat venue di Selangor, Johor, dan Sarawak dengan Bayuemas Oval di Klang, Selangor akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan A.

Md Iqbal Ali berkata, sebagai persiapan terakhir, pasukan remaja kebangsaan akan menyertai Piala Asia Kriket Wanita T20 Bawah 19 tahun pada Disember ini sebagai persiapan terakhir.

Katanya, perlawanan itu turut melibatkan pasukan ternama seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Kriket Johor, Prof Faidz Abdul Rahman berkata, kerja membaik pulih padang di Akademi Kriket Johor Dato Dr Harjit Singh dijadualkan bermula pada minggu ini.

Katanya, pihaknya akan memastikan keadaan padang berada dalam keadaan baik sebagai tuan rumah kepada aksi Kumpulan B melibatkan pasukan England, Pakistan, Ireland dan Amerika Syarikat.

“Semua fasiliti dan kemudahan akan ditambah baik bagi menjaga nama baik negeri Johor selaku tuan rumah bagi kejohanan peringkat antarabangsa ini,” ujarnya.

Padang Kriket Petra Jaya di Kuching akan menjadi tuan rumah Kumpulan C (New Zealand, Afrika Selatan, pasukan kelayakan Afrika, dan Samoa) manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) YSD Oval di Bangi, Selangor akan menjadi hos bagi aksi Kumpulan D (Australia, Bangladesh, Kelayakan Asia, dan Scotland).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast