Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR- Reaksi pantas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membolehkan seorang pelajar cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 12, menduduki peperiksaan khas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), esok.

Perkara itu disahkan sendiri bapa Nur Nasuha, Mohd. Nusi Mamat, 38, yang mengatakan dia sudah dihubungi guru MRSM Kuala Krai, petang tadi.

Terdahulu, Asyraf menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, beliau telah mengarahkan Mara untuk menghubungi ibu bapa Nur Nasuha dan meminta MRSM Kuala Krai membantu menguruskan pengangkutan pelajar berkenaan untuk menduduk peperiksaan.

“Saya telah sebutkan banyak kali jangan jadikan alasan kemiskinan mahu pun kekangan kewangan sebagai faktor penghalang untuk menyambung pengajian.

“MARA akan cuba sedaya upaya untuk membantu agar tiada pelajar cemerlang yang tercicir. Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes sebegini.

“Untuk pengetahuan semua, Bahagian Pendidikan Menengah MARA telah maklumkan kepada saya tarikh baharu UKKM pada yang mohon ditukar atas pelbagai sebab akan dimaklumkan pada 23 Oktober ini.

“Jika ada kes-kes seperti ini yang berlaku di kawasan, kampung atau kenalan semua, tolong maklumkan kepada MARA.

“Boleh berhubung terus dengan saya melalui medium ini. InsyaAllah MARA akan cuba bantu sebaik mungkin,” katanya.

Media hari ini melaporkan, seorang pelajar cemerlang di Bachok, Kelantan kecewa kerana tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke MRSM disebabkan kemiskinan.

Menurut Nur Nasuha, dia benar-benar mahu belajar di MRSM demi mengubah nasib keluarga terutamanya dalam melangsaikan hutang ibu bapa.

Dia sepatutnya menduduki ujian kecenderungan MRSM (UKKM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai, 8 Oktober lalu.

Bagaimanapun, bapa pelajar tersebut tidak dapat menghantar anaknya ke MRSM Kuala Kerai kerana tidak mempunyai wang dan hanya mempunyai motosikal. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here