SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit III Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kolaborasi strategik Kerajaan Arab Saudi berjaya menumpaskan penyeludupan dadah seberat 250.12 kilogram (kg) bernilai lebih RM7.17 juta.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, ia merupakan rampasan terbesar di KLIA bagi tahun ini.
Menurutnya, dadah yang dirampas pada 6 dan 10 Oktober lalu menerusi tiga operasi berasingan diseludup dari salah satu negara di benua Amerika dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dipasarkan ke negara-negara Arab.
“Kita dapat maklumat Malaysia dijadikan transit untuk penyeludupan dadah ini dari Kerajaan Arab Saudi. Kita sangat hargai maklumat yang diberikan,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam Kargo, Kargo KLIA, hari ini.
Dadah yang dirampas adalah jenis methamphetamine, ganja dan ketamin yang masing-masing seberat 207 kg, 33 kg dan 10.12 kg.
Anis berkata, dadah methamphetamine yang bernilai RM6.624 juta dirampas di kargo terminat KLIA pada 6 Oktober, lebih kurang 4.40 petang.
“Dadah ditemui dalam 40 bungkusan yang disembunyikan dalam ruangan khas (secret compartment) sebuah mesin pengukur industri (computer numerical control; CNC) coordinate measuring machine (MCM).
“Modus operandi yang digunakan untuk kes tangkapan pertama ini adalah pengikraran yang tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai CNC CMM,” katanya.
Anis berkata, dadah jenis ganja yang dirampas pada 10 Oktober jam 1 pagi yang diletakkan dalam dua buah bagasi yang dibawa oleh dua orang penumpang warganegara tempatan berperanan sebagai transporter.
“Dua penumpang ini baru sahaja tiba dari negara jiran dengan menaiki penerbangan milik sebuah syarikat penerbangan di Malaysia.
“Hasil imbasan bagasi, pegawai kastam mengesan objek dan imej yang mencurigakan di dalam kedua-dua millk penumpang tersebut.
“Pemeriksaan rapi telah dilakukan ke atas kedua-dua bagasi milik penumpang tersebut menemui 58 bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau dan ia disyaki dadah kanabis yang dianggarkan sekitar RM102,300,” tambahnya.
Katanya, dua lelaki berusia 30-an itu positif dadah.
Tambah beliau, dadah jenis methamphetamine dan ketamin seberat 10.12 kg bernilai lebih kurang RM451,420 yang dirampas 6 Oktober ditemui di dalam sebuah kotak ditinggalkan di kawasan kargo dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri.
Ketiga-tiga kes rampasan dadah itu disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – MalaysiaGazette