Gambar fail

MUAR – Hasrat seorang pegawai perubatan untuk menambah pendapatan musnah apabila rugi RM113,086 diperdaya satu tawaran peluang pekerjaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa membuat laporan polis semalam.

“Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun menyatakan telah berkenalan dengan seorang individu melalui satu aplikasi dan ditawarkan pekerjaan sambilan.

“Kemudian manga berhubung dengan individu terbabit untuk mendapatkan maklumat mengenai kerja sambilan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa kemudian diminta suspek untuk membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga dan akan mendapat pulangan komisen sebanyak 20 peratus.

Menurut beliau, komisyen tersebut didakwa akan diterima selepas selesai tinjauan dibuat melalui pautan yang diberikan.

Tertarik dengan pulangan komisen lumayan dan percaya dengan kerja sambilan tersebut, mangsa telah mendaftar sebagai ejen dalam sebuah laman sesawang.

Raiz Muhhliz memberitahu, bagi mendapatkan pautan tinjauan yang ditawarkan, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dalam lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.

Melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun mangsa menunjukkan perolehan keuntungan sebanyak RM130,000.

“Kemudian mangsa diminta membuat pembayaran tambahan oleh suspek sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan tersebut,” ujarnya.

Mangsa, katanya, enggan membuat bayaran tersebut kerana merasa ditipu dan sumber kewangan lelaki itu adalah hasil simpanannya sendiri.

“Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here