Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Bukit Damansara. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR- Penambahbaikan terhadap Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM) yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini memberi lebih fleksibiliti kepada majikan, pekerja dan penyedia latihan.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, struktur yuran baharu ACM membolehkan majikan lebih fleksibel untuk menjalankan program latihan termasuk kursus pembangunan profesional dan kursus modular.

“Kami juga percaya bahawa kenaikan siling yuran latihan HRD Corp akan membolehkan majikan menjalankan lebih banyak program latihan berkualiti serta bernilai tinggi yang memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan bersama pemain-pemain industri yang lain.

Steven ketika berucap merasmikan Forum Kemahiran Asean (ASF) 2024, 3 Oktober lalu mengumumkan penambahbaikan penting kepada ACM.

ACM adalah panduan untuk majikan berdaftar dengan HRD Corp dan penyedia latihan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia.

Steven turut mengumumkan kenaikan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari berbanding RM6,000 iaitu peningkatan lebih 50 peratus daripada kadar sebelumnya.

Inisiatif itu mendapat pujian Presiden Nasional Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong yang menyifatkan pengenalan tuntutan mengikut jam untuk program latihan amat bermanfaat kepada PKS.

Ini kerana ia dapat memastikan latihan dapat dilakukan tanpa menganggu operasi harian selain meningkatkan kemahiran yang lebih kos efektif.

“Kenaikan had bagi yuran kursus boleh dituntut membolehkan majikan mengakses kursus berkualiti tinggi dan premium yang sebelum ini tidak boleh diakses, memupuk daya saing yang lebih besar dalam pasaran tempatan dan global,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyedia Latihan Bumiputera Malaysia, Azman Shah Aziz berkata, penambahbaikan ACM sejajar dengan keperluan tenaga kerja moden yang semakin berkembang dan komitmen KESUMA memupuk ekosistem pembelajaran yang fleksibel dan berkualiti tinggi.

“Fleksibiliti ini sangat penting dalam pasaran masa kini yang bergerak pantas, di mana program pendek dan berfokus semakin bernilai.

“Peningkatan kadar harian yang boleh dituntut juga memastikan bahawa majikan mendapat akses kepada pelbagai pilihan program latihan bertaraf tinggi, di samping menyokong penyedia latihan dalam menyampaikan perkhidmatan premium,” katanya.

Persatuan Kejurulatihan Antarabangsa (IAC) pula berterima kasih kepada Menteri dan HRD Corp kerana mendengar keluhan mereka selama ini.

“IAC percaya bahawa penambahbaikan ini akan membuka jalan kepada pelaksanaan struktur kursus baharu untuk jurulatih bertauliah dalam masa terdekat,” kata Ketua Bahagian IAC, Bavani Periasamy.

Presiden Persatuan Penyedia Latihan Malaysia, Prof Dr Abdul Kabur Ibrahim berkata, penambahbaikan terhadap ACM akan merangsang komuniti latihan kerana mereka berharap untuk menyediakan lebih banyak program latihan bernilai tinggi kepada tenaga kerja Malaysia.

“Penambahbaikan terbaru dalam struktur kos ini mengambil kira peningkatan kos menjalankan perniagaan, termasuk faktor-faktor seperti Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST), yuran pentadbiran, bahan, dan kos kakitangan. Penambahbaikan ini sememangnya satu dorongan yang amat dialu-alukan untuk kami Penyedia Latihan (TP), memastikan kami dapat terus menyampaikan program latihan berkualiti tinggi secara mampan,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here