Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Hulu Selangor telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta Mitsubishi Triton yang merempuh kenderaan pihak berkuasa di Serendah, Hulu Selangor pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian itu berlaku pukul 2.41 pagi ketika pegawai polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mendapati sebuah pacuan empat roda berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, kenderaan itu telah bertindak merempuh kenderaan polis sehingga boleh membahayakan nyawa pegawai bertugas ketika mahu menahan mereka.

“Tembakan kemudiannya telah dilepaskan ke arah kenderaan pacuan empat roda itu namun suspek telah berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya sedang menggiatkan usaha untuk mencari kesemua suspek iaitu empat lelaki warga tempatan yang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Hasil pemeriksaan dijalankan ke dalam kenderaan suspek turut menemui peralatan pecah rumah seperti parang, kuku kambing, sabit, tukul besi dan pemutar skru.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” tambahnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli di talian 03-606 41223 atau IPD Hulu Selangor (03-606 51021) atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here