SERDANG – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2024 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sedang dalam proses mengenal pasti jenis-jenis barangan yang patut disenaraikan dalam kategori barangan harga kawalan.
“Sejurus persetujuan dari pihak industri telah diterima dan senarai telah disiapkan, saya akan mengumumkan jenis-jenis barangan di bawah harga kawalan kepada umum,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian AgroInvest MARDI 2024 di MAEPS, Serdang, hari ini.
Mengulas mengenai isu kenaikan harga sayur, Armizan berkata KPDN bersama Kementerian Pertanian akan meneliti aspek penawaran harga bekalan sayur.
“Ini khususnya bagi kategori sayur-sayuran yang sering digunakan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam pemakanan seharian mereka.
“Walau bagaimanapun, tidak semua sayur akan diletakkan di bawah harga kawalan. Kami akan memastikan bekalan adalah mencukupi supaya kenaikan harga adalah pada kadar yang munasabah.
“Ini adalah untuk mengelakkan sebarang pergerakan harga yang keterlaluan. Oleh itu, kerjasama rapat bersama Kementerian Pertanian dan pemain industri akan kami giatkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette