Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan bekerjasama dengan pihak berkepakaran untuk membangunkan satu pelan strategik khusus berkaitan tata kelola dan anti rasuah industri perkhidmatan air dan menambah baik Rangka Kerja Integriti dan Anti Rasuah Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan (RKIAR).

Langkah ini dilaksanakan susulan kes-kes salah laku tata kelola yang melibatkan pemain industri perkhidmatan bekalan air mutakhir ini.

“Sebagai badan kawal selia yang mengawal selia industri perkhidmatan air negara melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), SPAN mengamalkan “Toleransi Sifar” terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam industri air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pelan strategik ini akan dibangunkan melalui pendekatan bersesuaian untuk meneliti amalan, sistem atau tatacara terbaik agar industri ini bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ia dijangka dapat memastikan pengamalan tadbir urus yang terbaik di kalangan pemain industri perkhidmatan air antaranya menetapkan fokus ke atas proses perolehan yang telus dan terbuka serta memantapkan pengawalseliaan ke atas program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh pemegang lesen.

“SPAN sentiasa komited dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah urusan kawal selianya yang adil dan telus berdasarkan peruntukan Akta 655, standard integriti dan amalan etika terbaik untuk memastikan tindakan tegas diambil berdasarkan akta dan bidang
kuasanya ke atas mana-mana individu atau organisasi yang disyaki melakukan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 655 atau sebarang ketidakpatuhan peraturan semasa yang ditetapkan SPAN,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here