Antara nelayan asing yang ditahan Maritim kerana memasuki perairan negara.

KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia melakukan sebanyak 598 tangkapan kapal nelayan asing  sepanjang lima tahun pelaksanaan OP NAGA bermula Mei 2019 hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, nilai hasil keseluruhan tangkapan yang dicatatkan adalah berjumlah lebih RM209 juta.

“Sebanyak 75 peratus tangkapan yang dilakukan adalah melibatkan 451 VNA Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan adalah seramai 4,391 orang dengan nilai keseluruhan tangkapan adalah melebihi RM190 juta,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia di sini hari ini.

Angka berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara yang berjaya ditahan berikutan terdapat kekangan aset dihadapi seperti penyelenggaraan berjadual serta keuzuran aset-aset yang dimiliki.

Namun tegas beliau, pasukan keselamatan yang terlibat dalam OP NAGA sentiasa komited melaksanakan operasi berkenaan dalam usaha membanteras pencerobohan VNA untuk mengaut hasil laut yang ada di perairan negara.

“Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing) perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun komuniti maritim setempat,

“Jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin yang bakal mengancam pembiakan benih ikan yang mana akhirnya, akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, ” tegas beliau.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here