Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap dalam sidang media pada Program Persidangan Meja Buat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama bank-bank komersial di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiga nama ‘ikan besar’ dikenali sebagai ‘Tok Yah atau Tok Ayah’ dan DK merupakan dua dalang utama sebagai kartel penting dalam sindiket counter setting disahkan tidak mempunyai kaitan dalam siasatan terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk memeriksa ketiga-tiga nama itu seperti yang didakwa sebelum ini.

“Saya secara peribadi tidak pernah dengar nama-nama ini jadi saya arahkan pegawai saya untuk periksa nama-nama ini.

“Pagi ini pegawai saya beritahu ketiga-tiga kod nama ini (Tok Ayah, DK dan Adik) tiada kena-mengena dengan counter setting,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan sebuah portal mendakwa tiga ‘ikan besar’ dikatakan individu penting  dalam modus operandi mengatur counter setting di pintu masuk udara negara masih bebas.

Portal itu juga mendakwa, tiga individu terbabit dikenali sebagai ‘kartel’ penting iaitu Tok Yah atau Tok Ayah dan DK merupakan dua dalang utama.

‘Adik’ pula membantu DK menjadi orang tengah dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta jumlah nama yang terlibat dalam sindiket counter setting daripada portal terbabit untuk disemak dan diserahkan kepada SPRM.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, seramai 50 penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang ditahan terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’ kemungkinan akan didakwa Oktober ini.

“Kita nak mendakwa (suspek ditahan) tetapi saya jangka mungkin dalam bulan 10 ini. Saya nak tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka,” jelasnya.

SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi counter setting.– MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here