Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Semua permohonan kewarganegaraan yang belum selesai akan diputuskan selewat-lewatnya pada 17 Oktober tahun depan.

Komitmen itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

“Komitmen KDN (Kementerian Dalam Negeri) adalah 17 Oktober tahun depan, semua permohonan yang belum selesai akan kita buat keputusan dibuat. Kita akan buka kitab baharu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, KDN sudah memproses lebih 19,300 permohonan tahun ini melepasi sasaran awalnya iaitu 17,000.

“Sehingga semalam, saya telah meluluskan 19,317 permohonan dan jika kita masukkan jumlah tahun lepas, itu menjadikan 32,153 keputusan (permohonan kewarganegaraan) dibuat,” ujarnya.

Saifuddin berkata, 80 peratus daripada kelulusan tersebut adalah untuk kes yang belum selesai selama lebih lima tahun.

Jelasnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian kes kompleks seperti anak luar nikah dan anak angkat turut dilakukan.

“Kami kini telah memuktamadkan SOP untuk Seksyen 15A dan 19(1) (Perlembagaan Persekutuan), yang melibatkan kewarganegaraan melalui pendaftaran dan naturalisasi.

“SOP ini akan memastikan proses itu telus dan pemohon diberitahu terlebih dahulu mengenai dokumen yang diperlukan,” kata beliau.

Menurut Saifuddin, tidak akan ada lagi masa menunggu untuk pemohon dan akan diberitahu lebih awal jika permohonan mereka ditolak.

“Dengan SOP baharu, pemohon akan mengetahui lebih awal jika dokumen mereka tidak lengkap, mengurangkan risiko penolakan selepas menunggu lama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast