Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan rampasan dadah bernilai RM10 juta yang diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan Pantai Timur dalam sidang media di IPD Kajang pada 17 Oktober 2024

KAJANG – Polis merampas 15 guni beras yang mengandungi syabu seberat 315 kilogram (kg)dalam satu serbuan di tempat letak kereta di sebuah restoran makanan segera dekat Kajang Perdana, 12 Oktober lalu.

Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang menjadi membawa masuk bekalan dadah itu turut ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pemeriksaan yang dibuat di dalam Honda CRV menemui 15 guni beras dengan setiap satu mengandungi sebanyak 20 bungkusan dadah disaluti label teh herba disyaki syabu di tempat duduk penumpang belakang dan bahagian boot kereta.

Dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pagi tadi, beliau berkata, semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM10 juta.

Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan rampasan dadah bernilai RM10 juta yang diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan Pantai Timur dalam sidang media di IPD Kajang pada 17 Oktober 2024

Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan boleh digunakan oleh seramai 1.58 juta orang penagih dadah.

Menurut beliau,  suspek yang ditahan itu berasal dari Pantai Timur dan menerima upah sebanyak RM10,000 untuk sekali penghantaran.

“Suspek membawa masuk bekalan dadah itu dari sebuah negara jiran melalui Pantai Timur dan mengedar untuk pasaran Lembah Klang,” ujarnya.

Kok Chin berkata, sindiket ini aktif sejak awal 2024 dan semakan lanjut polis mendapati suspek memiliki lima rekod lampau kes dadah dan satu kes jenayah.

Ujian saringan air kencing suspek turut mengesahkan dia positif methaphetamine .

Polis masih meneruskan siasatan sumber suspek menerima pesanan dadah tersebut, kata Kok Chin.

Suspek direman selama enam hari bermula 12 hingga 18 Oktober ini dan sedang disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here